Total Pageviews

Wednesday 14 March 2012

Iman Bukan Mainan Lisan!!!!!


Iman tidak memadai hanya dengan diucapkan dengan lidah tanpa disertai dengan keyakinan dan pembenaran daripada hati sehingga ia membuahkan amal yang soleh. Yakin itu ada dua, yang pertama, haqqul yakin dan yang kedua ainul yakin.

Firman Allah SWT :
Maksudnya: “ Dan di antara manusia ada yang berkata : “ Kami telah beriman kepada Allah SWT dan kepada hari akhirat,” padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang – orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”
                                                                                                                         Surah Al – Baqarah: 8 - 9
Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya maka dia merupakan munafiq dan sifat nifaq pada munafiq itu merupakan kekufuran yang paling teruk. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman berkenaan orang munafiq:

Maksudnya: “ Sesungguhnya orang – orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada ( lapisan – lapisan dalam ) neraka…”
                                                                                                                              Surah An – Nisa’ : 145
Antara ciri – ciri orang munafiq ialah kata – katanya bercanggahan ddengan perbuatannya dan amalannya ketika di hadapan khalayak ramai adalah berbeza dengan amalannya ketika seorang diri serta apa yang dizahirkan adalah berbeza dengan apa yang disembunyikan. Orang munafik mempunyai tabiat yang keji, akhlak yang hina, membenarkan sesuatu dengan lidah tetapi mencanggahinya dengan hati dan perbuatan, di waktu pagi dalam keadaan lain dan di waktu petang dalam keadaan yang lain pula dan dia akan condong mengikut haluan sebagaimana kapal yang menghala mengikut arah angin. Oleh itu, Allah telah mendustakan dakwaan orang munafiq ketika mereka mendakwa beriman di dalam firmanNya:

Maksudnya: “ Apabila orang – orang munafik dating kepadamu ( wahai Muhammad ), mereka berkata: “ Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar – benarnya Rasul Allah.” Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul – Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.”                                 Surah Munafiqun : 1

Firman Allah SWT lagi:
Maksudnya: “ Dan apabila mereka ( orang – orang Yahudi atau munafik itu ) datang kepada kamu, mereka berkata: “ Kami telah beriman.” Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar ( dari sisi kamu ) dengan kekufurannya juga; dan ( hendaklah mereka ingat ), Allah SWT lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.”
                                                                                                                                 Surah Al Maidah: 61
Allah SWT menjelaskan bahawa iman adalah berbeza dengan Islam kerana iman tidak akan terhasil sebagaimana ia tidak meresap masuk ke dalam hati sedangkan Islam akan terhasil dengan hanya mengucapkan dua kalimah syahadah.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “ Orang – orang ‘Arab’ berkata: “ Kami telah beriman ”. Katakanlah ( wahai Muhammad ) : “ Kamu belum beriman ( janganlah berkata demikian ), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu…”
                                                                                                                                 Surah Al Hujurat: 14
Firman Allah SWT ini menunjukkan bahawa iman lebih khusus daripada Islam sebagaimana yang dikatakan dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini dibuktikan oleh hadis Jibril ketika bertanya kepada Rasulullah SAW tentang Islam, iman dan ihsan. Jibril telah bertanya daripada yang umum kepada yang lebih khusus iaitu daripada Islam sehingga ke ihsan yang merupakan kemuncak pengabdian seseorang hamba kepada Tuhannya. 

No comments:

Post a Comment