Total Pageviews

Sunday 11 March 2012

secebis pengalamanku...


Pengembaraan IlmuKu….
Aku kenal agama melalui manusia. Aku kenal agama melalui dunia. Aku kenal agama melalui kelalaianku. Aku kenal agama melalui kealpaanku. Aku kenal agama melalui tangisan keasyikkan seronok mengejar dunia. Aku kenal agama. Aku kenal agama. Aku kenal agama.
Aku kenal Islam yang bersifat kejam dan kasar itu atas kerana manusia. Yang membuatkan aku sentiasa merasa susah untuk berubah. Membuatkan aku rasa Islam itu tiada tempat bagi mereka yang mahu berubah. Mereka yang dahulunya keji, mereka yang dahulunya tidak mengerti, mereka yang dahulunya hanyut di lembah hitam, mereka yang dipandang hina dan penuh kejian, golongan itulah yang menjadi mangsa di atas ketaatan mereka yang melampau. Kekerasan mereka yang terlalu kejam. Yang menampakkan Islam itu keras pada umatnya.
Mengapa mereka begitu? Adakah benar Islam itu merupakan agama yang mempraktikkan keganasan? Aku keliru. Melalui bacaanku berdasarkan sirah – sirah yang didokumenkan, aku merasakan yang Islam itu indah, Islam itu lembut, dan Islam itu terlalu halus. Jelik sungguh pandangan Islam kini terhadap mereka yang mahu berubah. Aku pelik. Siapakah yang berada di jalan yang benar kini? Begitu susah untuk aku membezakan antara yang benar dan yang batil. Apakah dunia ini sudah jauh ketinggalan dengan sifat yang dua itu?
Aku pun mengorak langkah, selangkah demi selangkah. Hanya mati yang ku takuti. Hanya gambaran azab nerakanya sahaja yang membuatkan aku gagahkan jua melangkah walaupun langkahanku itu tiada berbayang dan tiada bertujuan. Aku mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti apakah ia. Aku melangkah, walaupun langkahanku penuh dengan kesakitan, penuh dengan penderitaan. Penuh dengan kesangsian. Apakah benar ini yang dimaksudkan sebagai Islam? Itulah bisik hatiku setiap kali aku melangkah.
Tiadakah tempat yang mampu aku jadikan sebagai rujukanku? Jawab hatiku, Kalamullah. Terpinga – pinga aku mencari suara itu. Apakah ada orang yang lain sekain dari aku? Fikirku begitu. Diam sebentar, membiarkan kepalaku berpusing memikirkan siapakah yang bercakap tadi. Tubuhku menggigil kesejukan di tusuk angin – angin malam yang halus dan tajam bagaikan kaca yang pecah seribu. Kalamullah ya amin. Kalamullah. Sekali lagi aku tersentak dengan suara itu. Tercari – cari aku di manakah gerangannya suara itu. Pelik. Malam ini sahaja sudah dua kali aku terdengar orang berkata – kata denganku. Tapi, tidak pula ku diperlihatkan siapakah gerangannya.


Diam sebentar aku memikirkan apakah ertinya lafaz itu. Apa itu kalamullah. Apa kaitannya dengan diriku. Apa kaitan dengan kehidupanku. Masalahku. Peribadiku. Adakah semua ini khayalanku?? Seimbas wajah aku terkenang, cahaya ketenangan yang terpancar di sebalik raut wajah wanita yang kukenali sebagai Syafia Adawiyah Bt Abdullah. Mungkinkah dia yang memberitakan padaku tentang kalamullah itu? Adakah benar dia yang membisikkan kepadaku? Adakah dia orangnya? Kembali aku memmikirkan yang semua ini adalh khayalanku semata – mata.
Sampai bilakah akan aku berada dalam lembah nafsu yang terus menerus membakar syahwatku? Cintakan dunia tanpa sempadan. Mengejar kemewahan tanpa erti kepenatan. Wang ringgit menjadi tahap ukuran kejayaan. Sudahlah begitu, semua ilmu agama yang diajarkan kepadaku hanya menjadi satu helaian – helaian yang tidak bermaksud. Tidak berguna. Tidak bererti. Sungguh aku sudah terlampau jauh dengan kebenaran dan semakin dekat dengan keaiban.
Islam, apakah yang engkau tuntut dariku? Dalam erti kata apakah yang engkau tuntun penganutmu? Pemuda seperti aku yang terlampau keliru dengan keadaan dunia. Tiba – tiba, aku teringat kembali akan gambaran neraka yang telah diperlihatkan padaku. Aku sedar, aku tahu, itu bukanlah neraka yang sebenar. Hanyalah gambaran semata – mata!!! Namun begitu, gambaran yang diperlihatkan padaku sudah terlampau mengerikan untukku. Tidak mampu tercapai dek akal manusia memikirkan bagaimana keadaan neraka itu.
Nah, rasakan!!! Aku pula merupakan insan yang diberi kesempatan untuk melihat hanya sedikit dari ruang yang tersedikit apa itu neraka… ya Allah. Apakah yang sebenarnya berlaku padaku ini ya Allah. Berikanlah aku hidayah dan petunjuk untuk melalui semuanya ini. Ya Allah, hanya Engkau sahajalah yang mengerti apa yangku nukilkan dalam kata – kata ini. Terlampau takut sehinggakan aku tidak mampu lagi untuk berdiri. Tidak lagi mampu untuk menggerakkan jari jemariku bagi mengisyaratkan pergerakan jari seiring degan zikrullah yang bermain di hati.
Ya Allah, apakah nasibku kelak? Aku kini mengerti, bahawanya, satu hari nanti, aku PASTI akan melalui semua itu Ya Allah!!! Hanya tangisan yang membasahi sebujur tubuh hambaMu yang kaku ketakutan, yang menggigil mengenang dosa – dosa silam, dan yang keliru dengan apa yang dilalui. Ya Allah, benarlah kata – kata mereka, hanyalah Engkau tempat member perlindungan dan memohon segala sesuatu. Aku gagahkan diriku dengan segala kudrat yang ada untuk bangun dan menghadap di malam ini.
Dengan gagahnya aku bangun dari hamparan mengharapkan kekuatan iman yang akan kupohon dariMu agar dapatku lalui semua ini dengan ketenangan dan perasaan rindu yang teramat sangat padaMu ya Illahi. Terasa keras lagi padu urat belikatku. Amatlah sengsara rasanya untuk menggerakkan tubuh yang dipinjamkan ini. Tidak aku mampu untuk menggerakkan tubuh yang dahulunya liar mengganas di atas duniaMu.
Kemudian, dengan perlahan – lahan aku membisikkan dihati kecilku, dengan nama Mu Ya Robbi!!! Aku memohon, aku merayu, aku merintih, izinkanlah aku untuk mengerakkan tubuh yang dipinjamkan olehMu kepadaku ini Ya Allah…. Izinkanlah aku Ya Allah… aku mengaku Ya Allah, aku berdosa terhadapMu… Aku mengaku Ya Allah, aku terlampau asyik dengan seronoknya dunia… deras mengalir bagaikan limpahan bah yang melanda, itulah keadaab air mataku yang berjurai – jurai keluar tanpa henti.
Berpeluh seluruh tubuhku. Menggigil. Panasnya bahang yang terasa umpama dekatnya matahari sejengkal denganku. Aku masih lagi di pembaringan. Apakah nasibku kelak tidak lagi diketahui. Hanya Allahlah yang menentukan nasibku. Bagaimana pula dengan anda wahai saudara – saudariku? Apakah kalian akan membazirkan masa anda mengenangkan dunia? Apakah kamu semua masih lagi alpa dan lalai dengan dunia? Ingat lah!!! Semua ini hanya sementara sahaja!!! 

No comments:

Post a Comment